
KUALA LUMPUR 8 Ogos – Suling Hill Development Sdn Bhd melangkah ke fasa pembangunan utama bagi projek taman industri pegangan bebas Northern TechValley @ BKE bernilai RM1.3 bilion dengan memulakan pembinaan jambatan jejambat utama bernilai RM30 juta bagi meningkatkan akses terus ke Lebuhraya Butterworth-Kulim (BKE).
Projek infrastruktur itu adalah antara komponen penting dalam menjadikan Northern TechValley sebagai hab industri masa hadapan yang mampan dan berdaya saing tinggi, sejajar dengan Pelan Struktur Pulau Pinang 2030.
Jambatan sepanjang 413 meter itu merupakan inisiatif swasta oleh Suling Hill Development, syarikat usaha sama antara AME Elite Consortium Berhad dan pemaju hartanah Majestic Gen Sdn Bhd bagi mempercepatkan akses logistik dan meningkatkan mobiliti kawasan perindustrian dan komuniti sekitar Seberang Perai.
Pengarah Suling Hill Development merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AME Elite, Dylan Tan Teck Eng berkata, pembangunan itu mencerminkan visi syarikat dalam membangunkan ekosistem industri mampan yang mampu menarik pelaburan berkualit.
“Minat tinggi daripada pelabur tempatan dan antarabangsa menunjukkan keperluan mendesak terhadap ruang industri moden di Pulau Pinang.
“Komitmen kami terhadap infrastruktur seperti jambatan jejambat ini akan memperkukuh kelebihan daya saing taman ini sebagai hab industri berteknologi tinggi” katanya.
Fokus Industri E&E, Kejuruteraan dan Logistik
Northern TechValley @ BKE yang dilancarkan pada 2024 merupakan taman industri seluas 176 ekar yang direka khusus untuk industri bernilai tinggi seperti elektrik & elektronik (E&E), kejuruteraan ketepatan dan logistik sekali gus memperkukuh status Pulau Pinang sebagai hab perindustrian utama negara.
Fasa pertama projek bermula Julai 2025 melibatkan pembangunan kilang berasingan 1½ tingkat yang direka untuk kecekapan operasi, seni bina moden serta kefungsian tinggi. la dijangka siap pada suku ketiga 2026.
Jambatan jejambat tersebut pula dijangka mempercepat perjalanan keluar masuk dari dan ke BKE, sekaligus mengurangkan kesesakan dan melancarkan aliran logistik perniagaan.
Tekad Bangunkan Taman Industri Mampan
Menekankan aspek kemampanan dan hijau, Northern TechValley mengekalkan sebahagian besar kehijauan semula jadi Bukit Suling dan memperoleh pensijilan GreenRE bagi kawasan perbandaran dan bangunannya. la direka menggunakan bahan tahan lasak dan mesra alam termasuk keluli tahan karat dan kaca untuk mengoptimumkan pencahayaan semula jadi dan mengurangkan penyerapan haba.
Taman itu turut menawarkan kemudahan komuniti seperti taman rekreasi, gim luar,laluan joging tepi tasik dan dewan serba guna yang memfokuskan pendekatan pembangunan menyeluruh berorientasikan kelestarian dan kesejahteraan komuniti.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan serta Perancangan Bandar dan Desa Pulau Pinang, H’ng Mooi Lye, menyifatkan projek berimpak tinggi itu sebagai bukti keberkesanan kerjasama sektor awam dan swasta dalam merancakkan pembangunan ekonomi negeri.
“Northern TechValley bakal menjadi pemangkin industri bernilai tinggi berasaskan inovasi serta menjana peluang pekerjaan baharu di kawasan Seberang Pera” katanya.
PHONE / HELPLINE
FAX
AME DEVELOPMENT SDN BHD 200801002418 (803702-H)